hanya kerana cinta

Seseorang
pernah berkata ~ Dalam hidup ini, kita akan jatuh cinta banyak kali.
Tapi akan tiba suatu ketika, di mana kita akan berhenti dan benar-benar
jatuh cinta buat ke sekian kalinya. Berbahagialah buat mereka yang
menemui cinta sejati mereka, kerana bukan semua orang sebegitu bertuah
untuk mendapatkannya…

Benarkah kata-kata ini? Apa yang pasti, kita yang dikurniakan dengan
akal fikiran yang lengkap, kadang-kadang terlalu mudah jatuh cinta, dan
terlalu mudah pula mengungkapkannya. Sehingga cinta menjadi sesuatu
yang terlalu murah dan bisa diperolehi di tepi-tepi jalan. Alangkah
sadisnya…

Cintakah namanya, apabila hati ingin memiliki? Cintakah namanya,
apabila perasaan ingin menguasai? Sebagaimana persahabatan, cinta
umpama pasir yg berada di genggaman. Digenggam terlalu erat, pasir akan
jatuh ke tanah perlahan-lahan. Tapi dibiar tenang, ia bisa menjadi
monumen yang mengkagumkan.

Seseorang yang lain berkata ~ Jika kamu mencintai, lepaskan dia, dan
biarkan dia menjadi apa yang dia inginkan, di mana, bila, dan
bagaimana, mengikut kehendaknya sendiri.

Jika benar itu cinta, maka cinta pasti akan memulangkan dia semula
padamu. Tapi jika tidak, maka percayalah, cinta itu tidak pernah
dihadiahkan buatmu, kerana Tuhan telah menyediakan sesuatu yang lebih
baik dari itu.

Cinta yang sebenar, berdiri atas dasar misteri, berdikari dan sangat
berani. Tidak memiliki kewarganegaraan, tidak meminta belaan, dan tidak
gentar dengan peraturan.

Bukan cinta namanya, jika kamu bercinta kerana janji. Bukan cinta
namanya, jika kamu bercinta kerana nafsu. Bukan cinta namanya, jika
kamu bercinta kerana simpati. Bukan cinta namanya, jika kamu bercinta
kerana terpaksa. Bukan cinta namanya, jika kamu bercinta kerana setia.

Cinta adalah cinta, apabila kamu bercinta hanya kerana cinta.

Hanya kerana CINTA…

Leave a Reply